Wednesday, March 31, 2010

MENGAPA ANDA DAN SAYA MENULIS?

Assalamualaikum dan Salam perkenalan.
Salam pemula salam pencetus persahabatan antara sahabat pembaca dan saya sebagai empunya blog.

Bila ditanya soalan " Mengapa anda menulis?" apakah yang terfikir di benak saudara saudari sekalian?

Satu jawapan pendek dan memberi erti segalanya kepada soalan itu adalah
= UNTUK BERKONGSI

Berkongsi apa? Berkongsi apa yang kita fikirkan, berkongsi apa yang kita rasai, berkongsi apa yang kita tahu, berkongsi apa yang kita faham, berkongsi apa yang kita impi, berkongsi apa yang kita harap dan berkongsi segala apa yang bukan kita seorang sahaja patut tahu dan ambil tahu.

Mengapa perlu kita berkongsi? Mengapa tidak kita diam-diam sahaja. Tidak perlulah 'dihebah' dan 'diheboh' ke seluruh buana apa yang ada di dalam benak itu. Inilah yang membezakan seorang penulis dengan yang lain. Semua penulis mempunyai satu persamaan sikap iaitu 'semangat ingin memberitahu dan menyampaikan' kepada orang lain iaitulah khalayak pembaca. Sama ada penulisan itu berbayar ataupun tidak, jika dipaksikan dengan keikhlasan untuk menyampaikan ilmu maka usaha dan penulisan itu dikira sebagai satu kebajikan yang kita harapkan mendapat keredhaan daripada Tuhan yang bakal menjadi aset bagi kehidupan selepas mati kita. Untuk menderma ribuan dan jutaan ringgit, kita tidak mampu memandangkan taraf ekonomi kita yang seadanya, maka apa kata kita 'mensedekahkan' pemikiran / minda / nasihat / peringatan kita melalui penulisan yang boleh menjadi lebih tajam daripada mata pedang?

Oleh sebab penulisan merupakan satu kerja kebajikan maka, semua penulis perlu bertanggungjawab dengan penulisan masing-masing. Mari kira contohi Dr. HAMKA yang mana karya-karya penulisannya dapat memberi impak yang sangat kuat dengan kehebatan penulisannya yang amat menyentuh sanubari. Moga Tuhan jauhi kita daripada dengan sengaja atau tidak sengaja terlibat dalam 'penyelewengan menulis'. Masih ingatkah kita lagi terhadap kontroversi dan penyelewengan besar yang dilakukan oleh Salman Rushdie terhadap buku Satanic Verses? Betapa bahayanya jika kita tersilap langkah dalam menulis.

Sememangnya penulis terpaksa 'kerja lebih' bagi melahirkan sesebuah karya penulisan. Masa dan tenaga adalah perlu dibayar bermula daripada penjanaan idea, sehinggalah kepada penyiapan penulisan. Walaupun bukan ketika betul-betul menulis di helaian kertas / menaip di keyboard komputer, minda seorang penulis tidak pernah lekang daripada menjana idea untuk menulis dan menulis.

Setidak-tidaknya teman-teman sekalian, jika tidak menulis pun, masih memainkan peranan dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dengan membaca.

Penulis berkongsi, pembaca menggarap dan akhirnya penulis dan pembaca sama-sama bertindak dan melakukan sesuatu atas apa yang ditulis itu.

Selamat menulis, selamat membaca!