Tuesday, May 24, 2011

GURUKU.. Halalkanlah hutang budi kalian terhadap saya

 
(Artikel ini ditulis pada 20 Mei 2011, Jumaat, 2 pm)

Saya mula mengenali Hari Guru ketika pertama kali melangkahkan kaki di bangku persekolahan iaitu pada tahun 1986. Saban tahun di sepanjang kehidupan persekolahan saya sambutan Hari Guru tidak asing bagi saya. Ianya menjadi satu lumrah dan tradisi untuk semua murid dan guru di sekolah bagi meraikannnya di dalam majlis khas di sekolah. Agaknya, dek kerana terbiasa dan mungkin juga terpaksa, sambutan Hari Guru bagi saya waktu itu biasa-biasa sahaja perasaannya. Kegembiraan pada saya (dan kawan-kawan) adalah apabila berkesempatan naik ke pentas untuk membuat persembahan nasyid dan sebagainya. Tetapi 'roh' sambutan Hari Guru itu tidak dapat saya rasai secara mendalam. Ya.. mungkin juga kerana hati saya tersilau dek usia kanak-kanak dan keremajaan yang sangat mengujakan sampaikan terlupa untuk membuat refleksi diri pada sebab dan musabab sambutan yang sepatutnya sangat dekat dengan saya ketika itu.
Zaman di menara gading pun tidak banyak bezanya. Hari Guru semakin lesu disambut. Dek kerana sudah rasa dewasa, maka Hari Guru saya lihat seakan-akan sambutan untuk 'budak-budak sekolah'! Ah.. Mungkin juga kesibukan bergelar pelajar yang tidak tidur malam menjadikan saya tidak sensitif pada persekitaran dan sambutan seperti Hari Guru?
Namun, segalanya berubah apabila saya mula meninggalkan alam persekolahan dan menara gading. Setiap kali tibanya Hari Guru, maka hati saya seolah-olah di bawa terbang menjelajah masa silam menuju zaman sekolah rendah di kampung Tebing Tinggi, zaman sekolah rendah berasrama di Batu Kurau, sekolah menengah berasrama di Ipoh yang sungguh mengujakan dan menara gading yang mendewasakan. Terbayang wajah-wajah guru-guru dan pensyarah-pensyarah saya. Dan barulah saya sedar bahawa saya mula merindui wajah-wajah yang pernah menabur jasa kepada saya dan kawan-kawan. Tanpa mereka, siapalah saya sekarang!
Terbayang saya betapa keriuhan saya sewaktu kanak-kanak menyebabkan cikgu-cikgu menggeleng kepala kepeningan. Kenakalan saya mungkin melelahkan mereka, namun mereka tetap tegar mengajar ABC dan 123 sehingga saya pandai membaca, menulis dan mengira.
Terbayang saya wajah-wajah ustaz ustazah dan guru-guru di sekolah menengah yang terus-terusan memberi semangat agar saya dan kawan-kawan mendapat keputusan cemerlang bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Saya mungkin telah mencabar kesabaran mereka dengan hormon-hormon keremajaan saya yang naik turun, namun mereka tetap sabar mendidik dan menasihati.
Terbayang saya wajah-wajah matang para para pensyarah di menara gading yang berkongsi ilmu pengalaman serta memberi tunjuk ajar agar saya dapat berkerjaya dan berbakti kepada masyarakat kelak. Saya telah 'berlagak' dewasa dengan perkataan dan perbuatan yang mungkin mengguris hati mereka. Namun, mereka tidak jemu menjadi teman pembimbing saya agar saya tidak menghampakan keluarga dan masyarakat.
Setelah berjauhan, barulah saya sedar dengan 'hutang' jasa dan budi para guru dan pendidik saya. Namun, kerdilnya saya tidak dapat 'membayar' hutang budi itu. Memanglah benar kata pujangga, "Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

Saya sungguh-sungguh terhutang jasa, bakti dan budi kepada kesemua guru-guru di sekolah dan pusat pendidikan ini:
1986-1989 : Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi, Kubu Gajah, Selama, Perak
1990 : Sekolah Ren. Keb. Batu Kurau, Batu Kurau, Perak
1991 : Sekolah Kebangsaan Sri Selama, Selama, Perak (UPSR)
1992-1996 : Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak (PMR & SPM)
1997-1998 : Pusat Matrikulasi, UIAM, Lembah Pantai & PJ (Matrikulasi Senibina)
1998-2002 : UIAM (Kampus Utama, Gombak) Kuliyah Senibina & Rekabantuk Alam Sekitar

Tidak kurang juga 'guru-guru' dan 'pendidik-pendidik' tidak rasmi saya di seminar, bengkel, kursus dan semua program-program ilmu yang pernah saya hadiri.

Terima kasih juga kepada semua insan yang pernah secara langsung dan tidak langsung mendidik, mengajar dan memberi hikmah kepada saya selama ini. Sungguh saya banyak belajar daripada kalian.

SELAMAT HARI GURU WAHAI GURU-GURUKU YANG SAYA HORMATI DAN SAYANGI. Walau jauh di mata, namun kalian tetap dekat di hatiku terpahat kekal dalam ingatan.

Saya merayu agar guru-guru sekalian menghalalkan segala hutang-hutang jasa, budi dan bakti yang telah kalian curahkan pada saya. Kerana keberkatan hidup saya sekarang dan mendatang memerlukan redha dari kalian.


Dari saya, insan yang sungguh-sungguh terhutang budi.

Wednesday, May 18, 2011

SETAHUN MENDIAM, MEMERAM DIRI?


Setahun saya mendiam diri dari mengemaskini blog ini. Bukan bermakna saya memendam rasa bahkan bukan sengaja menghilangkan diri. Tetapi, saya menjalani proses 'pemeraman' minda. Saya menjalani (dan masih) proses memahami diri sendiri dan mencari pengertian kepada sebuah kehidupan. Segala suka duka, onak ranjau dan pahit manis yang saya alami telah menjadi 'guru' dalam 'sekolah kehidupan' saya.
Memang tidak dinafikan, beberapa kali saya tersadung dengan semangat yang merudum seperti seorang perantau yang tidak jumpa jalan pulang. Namun malu bertanyalah yang menyebabkan perantau sesat jalan. Maka,saya memilih untuk mencari dan terus mencari arah tuju, bertanya dan terus bertanya pada yang tahu dengan mengenepikan perasaan malu atas kejahilan dan kebodohan diri.
Segala puji bagi Maha Mengasihani yang telah terus menyinari perjalanan saya dengan kuasa kasih sayangNya yang tidak pernah bertepi melebihi kasih seorang ibu.
Senantiasa merasa diri tidak sempurna, itulah sebenarnya yang menjadi halangan kepada minda saya sehingga kini untuk mula melahirkan karya kepada khalayak. Berasa tidak layak untuk dipanggil penulis dek kerana kekerdilan diri, betul-betul menahan jemari saya daripada menzahirkan apa yang terbuku di lubuk minda. Mungkin inilah apa yang dikatakan sebagai 'the writer's block'. Mungkin benar kata-kata itu, atau mungkinkah corak perjalanan hidup kita yang berbeza yang membuatkan tempoh untuk kita mengatur langkah itu tidak sama. Ada yang berlari, ada yang berjalan dan ada juga yang terhencut-hencut. Tidak kurang juga yang terpaksa dipimpin tangan.
Namun langkah tidak harus dihentikan selagi hayat dikandung badan. Insan agung kekasih Allah, Rasulullah SAW juga telah mendiam, beruzlah sebelum kerasulan baginda.
Seorang Mukmin itu, diamnya FIKIR, dan bicaranya ZIKIR.