Sunday, October 11, 2020

SAYA BEREHAT DARI AKAUN FACEBOOK FAEEZA FADEL SEKETIKA DAN AKAN MENULIS DI BLOG

8 tahun blog ini bersawang. 

Dan saya pun tidak akan menulis banyak di sini. Artikel ini hanya landing page untuk saya mengumumkan di mana rakan dan pembaca di FB Faeeza Fadel boleh mencari saya.

Saya enjoy menulis.Ini passion saya. Ini juga terapi buat fikiran saya. Ada kelegaan setiap kali selesai menulis. 

Dan setiap penulisan mempunyai peluang serta risikonya tersendiri. 
Begitu juga dengan post-post orang lain yang melalui newsfeed saya.
 
Penulisan saya di FB, bukanlah bertujuan untuk viral walaupun pernah sekali dua viral. Itupun secara tidak sengaja. Moga Allah jauhkan saya dari rasa riyak dan takbur.
 
Menulis di blog lebih mendamaikan tika ini kerana sifatnya berfokus.
Saya sedang berusaha untuk mendapatkan domain mencarijalanpulang.com.
 
www.mencarijalanpulang.com
(ketika artikel ini ditulis, ianya masih belum berfungsi secara rasmi)
 
Saya baru bayar upah khidmat mendaftar domain ini dari seorang kenalan.
Jangan keliru, blog mencarijalanpulang.blogspot.com bukan milik saya. 

Blog saya nanti adalah www.mencarijalanpulang.com.
Insyaallah.
 
Saya hanya berehat seketika saja dari FB.
Belum delete akaun pun.
Saya mahu Reclaim My Heart, seperti buku tulisan Yasmin Mogahed, buku favourite saya.
Rakan-rakan rapat tahu bagaimana mahu keep in touch dengan saya.
Sampai bertemu kita di lain hari di FB Faeeza Fadel.

Moga Tuhan hadirkan kebaikan dari kerehatan sementara dari akaun FB tersebut.

Take care everyone! Bolehlah tekan butang follow di blog www.mencarijalanpulang.com, jika betul-betul mahu follow penulisan saya.
 

Wednesday, August 29, 2012

ANDAI DIRIMU DIKRITIK ORANG...

Wahai hamba Allah yang tidak sempurna, andai dirimu dikritik atau dikata orang:

  • Usah defensif jika dikritik, bukankah itu ruang penambahbaikanmu yang selalunya kamu tidak sedari dan terlepas pandang? Tanpa kritikan mereka, mana mungkin kamu dapat menambahbaik sisi dirimu itu? Tahanlah perasaan ketika dikritik, cubalah beri senyuman walaupun hambar. Anggaplah kritikan sebagai ubat yang pahit namun menjadi penawar untuk menyembuhkan dirimu.
  • Usah dikuasai ego jika diberi pendapat itu ini walau mungkin kamu sendiri telah sedia faham dan arif tentang pendapat itu, bukankah itu 'buah tangan' mereka untuk memantapkan idea dan pandanganmu? Dengarlah dengan hati yang terbuka dan raikanlah pendapat itu dengan senyuman yang manis. Walau setinggi manapun pangkatmu, sebanyak manapun ilmu mu, kamu pasti tidak akan tahu dan faham 1001 macam perkara di dalam hidup ini. Maka, dengarlah pendapat mereka.
  • Usah tegar jika dinasihati, bukankah itu 'tanda kasih dan sayang' mereka yang prihatin dan mengambil berat tentang nasib mu? Mereka tidak akan datang meluangkan masa semata-mata untuk menasihatimu jika mereka tidak ambil peduli pada kamu. Walau mungkin nasihat-nasihat itu datang dari orang yang kau anggap 'lebih layak menasihati dirinya sendiri', namun, janganlah melihat kepada penasihat itu, ambil lah butiran hikmah nasihat itu. 
  • Usah membenci jika dibenci, bukankah membenci itu merosakkan hati dan riak wajahmu sendiri? Bencilah hanya pada kebatilan dan kejahatan dan bukan pada sesama manusia. Sama seperti kamu, fitrah setiap manusia walau siapapun mereka adalah kebaikan, namun nafsu dan syaitan telah menjerumuskan mereka ke arah yang tidak baik. Ada kalanya, untuk memperbaiki diri, perlu kau tanya musuhmu siapa kamu kerana mereka sentiasa nampak silapmu.
Wahai diri yang hina,
  • Andai marah menguasai hatimu, usah dibakar hangus rasa itu dengan panas emosimu, namun gunakan emosi itu sebagai satu lonjakan motivasi untuk terus maju ke hadapan.
  • Andai pernah kau lakukan kesalahan dan kesilapan, jangan toleh ke belakang untuk merasa gagal dan kecewa. Pandanglah jauh ke hadapan untuk memperbetulkan keadaan dan merasa bahagia. Jangan ambil peduli dengan pandangan sinis manusia apabila kau berusaha untuk berubah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul kerana pada akhirnya ianya bukanlah antara kamu dan mereka, tetapi antara kamu dan Tuhan kamu.
Wahai diri yang disayangi,
  • Ingatlah bahawa hari semalam adalah sejarah, hari esok belum pasti kau ketemu, tetapi pada hari inilah kau masih ada masa, ruang dan peluang untuk bertindak. Maka jangan bertangguh dan bertindaklah sekarang!
Nukilan diriku yang juga tidak pernah dan bisa sempurna
Faeeza Fadel

Thursday, July 26, 2012

SAHABAT SEJATI?


(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)

Artikel ini ditulis pada 27 Januari 2010


Sahabat sejati?

Saya masih mencari-cari, hingga kini. Di dalam fasa pengemudian hidup secara multi-tasking ini iaitu dengan memikul tanggungjawab sebagai segala-galanya, saya masih tidak henti-henti mencari dan mencari.

Jika di zaman persekolahan lebih-lebih lagi zaman di menara gading dahulu, memang saya akui di situlah zaman yang paling saya nikmati di dalam mempunyai sahabat sejati yang menyayangi saya dengan ikhlas dan jujur. Sahabat-sahabat sejati ini menerima saya seadanya. Sahabat-sahabat sejati ini sanggup bersahabat dengan saya walaupun seribu satu kelemahan yang ada pada diri ini. Diterima seadanya baik buruk diri saya. Ditelan segala rasa hati yang mungkin terguris disebabkan sikap (negatif) saya. ‘Dijulang’ dan disebut perkara baik-baik tentang saya. Bukan memuji yang memabukkan diri, tetapi ‘memuji’ lebih kepada menghargai diri kita. Merekalah yang menjadi teman ketawa, teman air mata dan teman untuk menadah telinga mendengar celoteh saya. Merekalah jua yang tidak kenal erti jemu ‘menarik tangan saya semula’ jika saya ‘jatuh tersadung. Di waktu saya kesusahan, sahabat-sahabat sejati inilah yang membelikan sepinggan nasi dan segelas air. Di waktu saya sakit dan tidak dapat bergerak dari katil, merekalah yang datang menyumbang picit dan urutan yang amat memberikan kekuatan dan galakan untuk saya cepat sembuh. Di waktu saya ‘dibuli’, merekalah yang akan datang menjadi ‘perwira’ saya.

Memang zaman itulah zaman ‘gemilang’ persahabatan saya.

Kini, masa telah merubah segala-galanya.

Saya dan mereka masing-masing telah membawa haluan hidup masing-masing dalam mengemudi hidup orang dewasa. Berkahwin, beranak pinak dan bekerja telah menjarakkan hubungan kami. Tetapi jarak fizikal tidak menjarakkan hati saya terhadap mereka. Sesungguhnya mereka ini sangat dekat di hati saya. Walau jarang dihubungi dan menghubungi, tetapi pengalaman saya bersahabat dengan mereka tidak lekang dari ingatan saya. Selalu saya sebut-sebut kisah manis bersama mereka di dalam bicara saya.

Tips segera saya untuk mengenalpasti sahabat sejati (di antara ribuan kawan dan orang-orang yang mengaku sahabat) adalah --> siapakah yang paling anda ingat jika anda dilanda kesusahan atau ketika anda berbuat silap atau ketika anda di dalam ‘kejatuhan’? Anda rasa seolah-olah ingin saja anda bertemu insan itu di waktu anda ditimpa susah kerana anda yakin insan itu tidak akan menolak anda dan anda pasti dia akan menerima anda dan memberi anda kata-kata perangsang dan semangat. Itulah kriteria paling mudah untuk saya ‘labelkan’ seorang sahabat (dibandingkan dengan seorang kawan) Mengapa saya katakan demikian? Kerana pengalaman mengajar kita semua (dan manusia-manusia sebelum kita) bahawa “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar ditemui”.

Dan yang paling payah hendak dicari adalah sahabat yang masih mahu mengaku sahabat jika saya atau anda melakukan kesalahan atau kesilapan yang hebat. Ramai yang lari, tidak kurang juga yang mengelak diri, lebih ramai lagi yang mengeji di belakang hatta mereka yang pada dasarnya kita anggap ‘sahabat’. Ini memang bukan sahabat, malahan musuh dalam selimut! Cukuplah sekadar berdoa agar orang-orang seperti ini diampunkan Tuhan dan diberi hidayahNya. Jangan lupa juga berdoa agar kita tidak termasuk dalam golongan ‘sahabat-musuh dalam selimut’ ini.

Sahabat sejati akan senantiasa berkata benar kepada kita berkenaan diri kita secara berhikmah. Kelebihan kita sentiasa dihormati, kekurangan dan kesilapan kita akan sentiasa diperingat dan dinasihati tetapi bukan diumpati! Bukanlah bermakna menjadi sahabat sejati perlu sentiasa memuji, bukan! Tetapi selalu menggembirakan hati kita dengan kebenaran dan mengingatkan kita tentang kealpaan. Bukan pula ‘terjun longkang sekali kita’ dan tentunya bukan yang ‘bawa kita terjun longkang sekali’.

Di dalam melaksanakan seribu satu macam tanggungjawab , saya (dan para sahabat pembaca semua) sepatutnya dipacu dengan akal fikiran serta tidak lupa mengawal segunung emosi yang sentiasa mendatang dan pergi dalam lubuk hati terutamanya hati seorang wanita. (Tentunya yang menjadi penyelamat adalah Iman).

Cubalah bayangkan:
- Di dalam hidup berkeluarga kita adalah seorang isteri kepada suaminya, seorang ibu kepada anak-anaknya, (masih lagi) seorang anak kepada ibu bapanya, seorang menantu kepada mertuanya, seorang ipar kepada ipar-duainya, seorang kakak kepada adik-adiknya,
- Di dalam hidup bekerjaya pula kita adalah seorang pekerja kepada pejabatnya, seorang pegawai bawahan kepada majikannya, seorang penyelia kepada pegawai seliaannya

Di antara pelbagai tanggungjawab yang terbeban di bahu kita itu, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai konflik dan dilema yang kadang-kadang menguji kita dan sememangnya kita tidak dapat melakukan semuanya secara tip-top. Kita bukan robot!

Pergolakan dan peperangan antara emosi dan rasional di dalam hati wanita (dan semua yang bernama manusia) inilah yang kebiasaanya menguji pergaulan seharian terutama di dalam persahabatan. Di dalam majalah Anis Februari 2010 ada menyebut emosi wanita umpawa air yang amat lemah sifatnya yang mudah berubah bentuk mengikut bekas atau acuan yang apabila dibezakan dengan kekuatan hati lelaki seumpama seketul batu yang amat teguh walau diletakkan di bekas manapun. Sifat ‘lembik’ dan ‘lembut’ emosi ini jualah yang menjadi punca mengapa kaum hawa lebih mudah untuk berasa hati atau terhentak hati dengan sekecil-kecil isu sekalipun. Terasa itu, terasa ini, sakit hati begini, sakit hati begitu, sedih kerana ini, sedih kerana itu dan dek kerana inilah agaknya memang hati wanita tidak ‘sekuat’ lelaki apabila menghadapi sikap-sikap dan tindak-tanduk insan-insan di sekelilling walau siapa saja ; suami, anak-anak, ahli keluarga, ipar-duai, kawan sepejabat, bos, jiran, orang lalu lalang dan sebagainya, dan inilah ujian yang selalu ditimpa oleh sahabat-sahabat sejati. Iaitu untuk menjadi sahabat ketika diri sendiri dibuai perasaan, untuk menjadi sahabat ketika sahabat terbuai perasaan dan ‘memangsakan’ kita pula.

Yang paling utama, sahabat sejati adalah mereka yang memasukkan kita di dalam hati mereka dan di dalam doa mereka. Yang mudah memaafkan kesalahan kita dan mudah meminta maaf. Yang menyembunyikan kekurangan diri kita. Yang membela kita. Yang tidak sesekali akan menghentam kita jika kita tersilap malahan menutup-nutup dan menasihati seterusnya ‘menarik tangan kita’. Wah! Banyak bukan kriteria menjadi sahabat sejati. Jangan pula kita sahaja yang kepinginkan sahabat sejati sebelum kita mula sendiri menjadi seorang sahabat sejati.

Kepada sahabat-sahabat wanita saya yang sama-sama belajar di AED, UIA pada tahun 1997-2002, ketahuilah, kalianlah antara sahabat sejati saya yang sukar dicari ganti. Juga kepada sahabat-sahabat yang bertamu di alam maya yang hadir hanya seketika, namun komunikasi secara bertulis anda amat ‘memegang’ hati saya. Saya sayang kalian dan kecintaan itu biarlah diabadikan selamanya dalam hati saya (walau tanpa khabar berita).

Kepada teman-teman sekeliling yang pernah 'dimangsakan' saya secara yang saya sedari atau tidak sedari, sejuta maaf saya pohonkan. Tegurilah saya atas apa-apa kekhilafan dengan ikhlas. Semoga keikhlasan kalian yang bernama sahabat ini akan dapat membantu saya (dan kita) mencari redha Allah. Sama-samalah kita maaf-memaafi antara satu sama lain, kerana kita tidak pernah tidak melakukan salah silap antara satu sama lain.

Sesungguhnya, cinta sejati hanyalah pada Allah. Dialah Tuhan yang tidak akan pernah ‘lari’ dari hambaNya yang mendekatiNya dalam apa jua masalah, salah silap yang kita lakukan. Dan sahabat sejati adalah sahabat yang sentiasa 'mendekatkan' kita dengan Allah.

Wallahu a'lam.

KEBURUKAN ORANG LAIN : Bukti ketidaksempurnaan diri kita

(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)
Artikel ini ditulis pada 22 Februari 2010

Rutin harian di dalam kehidupan saban hari tidak sah daripada keperluan untuk kita berinteraksi dengan orang lain. Sama ada di rumah bersama keluarga, di kawasan kediaman bersama jiran tetangga, di pejabat bersama teman sepasukan, di dalam lif bersama orang yang kita berselisih misalnya, sememangnya kita tidak lepas dari mempunyai ’contact’ dengan orang lain. Sama ada bertentang mata, bersua muka, berbual bicara, bertanya dan sebagainya, segalanya melibatkan kita bertinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain selain diri kita.

Sebagai manusia biasa sudah menjadi lumrah bagi kita untuk tidak dapat lari daripada membuat tanggapan, memberi persepsi, bersikap kritikal dan kerap juga kita bersikap ’menghukum’ (judgemental) dengan sesiapapun yang berinteraksi dengan kita. Begitu mudah & cepat kita melompat kepada satu kesimpulan pada orang lain bahawa dengan berkata ’begitu’, si fulan itu sememangnya ’begitu’, dengan memek wajah ’begitu’ memanglah si dia itu ’begitu’, dengan bertindak ’begitu’ tidak syak lagi bahawa beliau adalah ’begitu’ dan sampai bila-bilalah bagi kita ’si fulan’, ’si dia’ atau ’beliau’ kita anggap ’begitu’. Begitulah cepat dan senang kita membuat impresi terhadap orang lain.

Tidak pernahkah kita terfikir bahawa kita juga adalah ’si dia’, ’si fulan’ atau ’beliau’ bagi orang lain di sekeliling. Tidak pernah terfikirkah kita tentang kata-kata kita, memek wajah kita, tindakan kita ketika berinteraksi dengan orang lain sama ada kita sengajakan atau tidak kita sengaja atau tanpa kita sedari? Bagaimana pula orang mentafsir peradaban kita?

Sebagai contoh, berapa kalikah kita terlepas pandang dan tidak sedar bahawa kita berselisih bahu dengan orang yang kita kenal tanpa kita hulurkan senyuman oleh kerana kita tidak perasan akan kehadiran mereka? Kita mudah memaafkan diri kita sendiri dan memberi alasan untuk tidak kita rasa bersalah atas ketidaksengajaan sebegitu, maklumlah kita bukannya sedar pun kehadiran mereka. Namun, mudah benar kita mengatakan bahawa ’si dia’ itu sombong dek kerana tidak menegur kita walhal kita sudahpun melemparkan senyumah padanya.
Entahkan memang ’si dia’ betul-betul perasan kehadiran kita atau mungkinkah ’si dia’ sedang ’absent-minded’ dek kerana masalah besar yang sedang ditanggungnya, manalah tahu baru diuji dengan kematian orang tersayang dan sebagainya.

Berapa kerapkah kita meninggikan suara pada anak-anak atau pasangan yang mana kemudiannya kita menyesal melakukan pantas pula kita sekali lagi memaafkan diri dengan alasan bahawa pasangan dan anak-anak kita adalah orang yang paling rapat dengan kita dan air yang dicincang tidak akan putus lantas kita mudah melupakan kekasaran bahasa kita itu? Lagipun bagi kita memang patut mereka ditegur secara 'kasar bahasa'!
Terbayangkan kita betapa terhiris dan tergurisnya jiwa dan hati mereka dengan kata-kata kita. Mereka mungkin diam tidak berlawan kata namun, dalam hati, siapa tahu. Kita pantas buat-buat lupa dengan kesilapan mulut&lidah kita dengan pasangan, ahli keluarga atau anak-anak,bukan? Namun, mudah benar hati kita remuk rendam dengan kekasaran bahasa pasangan atau teman-teman kita.

Mengapalah cepat dan mudah benar kita terlihat, terperasan, ternampak dan terfikir (malahan bebih teruk menghebahkan) kesalahan dan kesilapan orang lain, kesilapan orang lain itu merupakan isu hangat bagi kita. Walhal diri kita sendiri tidak sempurna mana pun, betul dan beanr semuakah perlakuan, adab, kesopanan dan perangai kita ini?

Sejak kita mula menjadi mumayyiz telah kenal salah silap, sikit benarkah salah kita pada orang, pada ibu bapa, pada adik beradik, jiran tentangga, rakan sepengajian, rakan sepejabat, suami/ isteri, anak-anak, dan senarai orang yang pernah kita terbuat silap tidak pernah terhenti. Itu adalah kesilapan yang boleh akal kita tercapai untuk menginsafi diri. Bagaimana dengan salah silap kita yang kita tidak sedar atau yang kita memang langsung tidak berniat untuk melakukannnya namunt elah ’berjaya’ mengguris hati orang lain atau ’berjaya’ membuahkan dosa?

Sahabat-sahabat pembaca sekalian, maka benarlah, melihat kepada keburukan orang lain, mengingatkan kita kepada kekurangan dan ketidaksempurnaan diri sendiri kerana kita juga manusia, sama seperti mereka.

Sebenarnya, jika kita terlalu sibuk mencari, memikirkan salah dan silap diri sendiri (sama ada salah kita pada Allah, salah kita pada manusia ataupun salah kita pada alam sekitar) kita memang tidak punya masa, ruang dan peluang walau sesaatpun untuk memikirkan salah silap orang hatta salah orang pada kita.

Hakikatnya, jika saya, sahabat-sabahat pembaca sekalian terlalu sibuk mencari, melihat, memikir dan memperkatakan salah silap, cacat cela dan khilaf orang lain selain kita, memang kita menutup ruang dan peluang untuk kita memperbaiki, membaiki dan menambahbaik peribadi kita yang tidak seberapa ini kerana masa, tenaga, fikiran kita telah dibazirkan dengan memikirkan salah silap orang lain. Namun bukan pula bermakna kita mengamalkan sikap tidak peduli di dalam hidup bermasyarakat!

Maka wahai diri sendiri dan sahabat pembaca sekalian, marilah kita fikir-fikirkan.

Memikirkan khilaf (salah) diri bukanlah pula bermakna menggalakkan perasaan rendah diri atau rasa bersalah terlampau sehingga merendahkan harga diri (self-esteem) atau keyakinan diri kita di dalam masyarakat, tetapi objektif ’memikir-mikir silap diri’ adalah demi untuk memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan diri selama mana kita hidup di dunia ini demi mencari redha Allah serta meningkatkan kesejahteraan hidup kita di dalam berhadapan dengan manusia sekeliling. Namun begitu, parameter di dalam mengkoreksi dan bermuhasabah diri hendaklah menggunakan syariat Allah sebagai kayu pengukur bukan redha dan kesukaan manusia semata.

Ingatlah, jika kita mengutamakan redha Allah, maka Allah akan ’memenangi kita ke atas manusia’. Namun jika kita mengutamakan kesukaan manusia, maka kita hanya akan mendapat redha manusia semata.

Jika kita tersedar akan kesilapan, kesalahan dan ketidaksempurnaan kita dari segi perasaan seperti buruk sangka, kesilapan lidah, kesilapan perilaku serta adab kita, maka masih belum terlambat untuk kita memperbaiki diri dan berubah untuk menjadi lebih baik. Manusia yang paling bagus adalah manusia yang hari ini lebih baik daripada semalam dan yang paling banyak kebajikannya kepada manusia lain.

Marilah kita mohon maaf pada suami/ isteri/anak-anak/ teman2/rakan sekerja/jiran tetangga dll atas kekhilafan kata dan perlakuan kita. Dan mulalah dengan diri sendiri untuk memaafkan kesalahan orang lain pada kita, kerana kemaafan adalah dendam yang paling indah!

Wallahu a'lam

Wednesday, July 25, 2012

CERMIN MUKA, SINGA, AYAM DAN ANJING



Dalam kita melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab berkeluarga dan bekerjaya, perasaan kita sering diuji dan teruji dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Dan jangan pula kita sesekali lupa bahawa, kita jugalah antara manusia yang membuat perasaan insan lain diuji dan teruji dengan karenah dan ragam kita sendiri kerana kita juga manusia yang tidak sempurna. Cuma tidak ada ‘cermin muka’ yang dapat memantulkan kembali karenah dan ragam kita sehari-harian agar boleh kita ternampak ragam dan karenah kita bersama insan-insan sekeliling.

Apabila direncam dengan pelbagai ragam insan sekeliling yang mengelirukan, memeningkan, mengundang kemarahan atau melukakan hati kita, maka bersegaralah membuka ‘cermin muka’ kita sendiri untuk membuat refleksi dan koreksi diri atau dalam erti kata yang lebih tinggi, bermuhasabah diri. Apakah benar karenah insan yang menguji perasaan kita itu merupakan 100% mutlak dengan sengaja menguji perasaan kita? Atau mungkinkah karenah dan ragam itu merupakan tindakan refleks atau respon mereka terhadap ragam dan karenah kita sendiri?

Apakah pula ianya tindakan refleks itu, Seperti mana yang pernah kita pelajari dalam subjek sains di bangku sekolah dahulu, tindakan refleks atau ‘tindakan pantulan’ dari segi saintifik merupakan gerak balas luar kawal (automatik) yang pantas oleh tubuh kita terhadap sesuatu rangsangan atau kejutan. Contohnya apabila jari tercucuk jarum, serta merta otak ‘menghantar tanda’ kepada jari untuk menarik tangan daripada punca sakit tersebut iaitu jarum tanpa kita sempat berfikir. Tindakan refleks apabila dilihat dari satu segi merupakan satu mekanisma perlindungan (defensif).

Mungkin juga ragam insan tersebut merupakan satu tindakan refleks atas 'kejutan' yang kita sendiri mulakan terhadapnya? Ini bermakna, kita jugalah mungkin penyebab kepada ragam dan karenah insan-insan yang menguji perasaan kita itu. Jadi, tidak perlu sesakkan hati dan jiwa untuk mengorek-ngorek salah dan silap si pembuat ragam dan karenah, bertenang sebentar, dan 'pukau' minda sendiri untuk bersabar sesabar-sabarnya dengan ragam dan karenah yang amat menguji tersebut. Jangan lupa buat 'kerja rumah' untuk menilai kembali situasi yang telah dialami dengan hanya satu tujuan iaitu untuk memperbaiki keadaan dan bukan untuk menuding jari atau menyalahkan diri seratus peratus. Perlu selalu di ingat, kita juga manusia, sama seperti insan-insan sekeliling kita. Maka kita dan mereka sama-sama tidak sempurna dan masing-masing memiliki kelebihan dan kekurangan, kebaikan dan keburukan. Adil bukan?


Jika terus-terusan kita berfikiran '50%-50%' sebegini, maka dapatlah kita terhindar daripada persengketaan hasil daripada 'memanjang-manjangkan' satu perkara yang mungkin sebenarnya amat remeh. Mungkin juga segala tanggapan kita kepada insan-insan yang membuat karenah dan membuat ragam ini adalah hanya prejudis kita yang tidak lain tidak bukan adalah satu syak wasangka yang mana ianya dilarang oleh Allah di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, Ayat 12:


"“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)


Menakutkan bukan? Memakan daging saudara sendiri? Betapa, kita sesungguhnya sudah menimbunkan dosa dalam syak wasangka dan umpat mengumpat. Maka, marilah kita sama-sama bertaubat segera. 



Dalam menyelesaikan ragam dan karenah segolongan kecil manusia yang memang dikenali suka menimbulkan masalah, jangan mudah melatah atau melenting apabila insan sekeliling meragam, bertenang dan jangan biarkan emosi kita menguasai minda ketika dihambuk dengan asakan ragam insan tersebut. Ini adalah kerana separuh dari akal kita akan hilang apabila amarah menguasai hati, maka bagaimana mungkin bisa untuk kita mencari strategi dan formula untuk mengenalpasti punca masalah seterusnya menyelesaikan masalah tersebut? Ingat, hidup adalah untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah. Dan seperti kata Prof. Muhaya yang selalu beliau ulang-ulangi di dalam program 'Islam Itu Indah' yang ke udara di radio IKIM.FM, yang berbunyi 'mengapa perlu kita 'bazirkan' umur kita hanya untuk memendam rasa, berkecil hati atau berdendam hanya kerana segelintir insan di antara beribu-ribu insan yang kita kenali?' Banyak lagi perkara baik dan hebat yang perlu kita fokuskan minda daripada memeningkan kepala memikirkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan seperti itu.

Dalam mendepani orang-orang di sekeliling yang menguji perasaan kita, kita perlu masa untuk menjadi rasional dan kita tidak boleh terburu-buru atau tergopoh gapah dalam memberi reaksi terhadap golongan ini, kerana terburu-buru itu sifat yang berasal dari syaitan dan pastinya akan memberi kesan yang buruk. Tarik nafas panjang-panjang dan cuba lemparkan senyuman walaupun senyuman kita itu hambar atau lebih baik diamkan lidah kita dari berbicara jika keadaan tegang. Diam ketika dihambuk amarah, ragam atau karenah insan lain bukan beerti kita dayus, penakut atau kalah. Ini boleh dikiaskan dengan perumpamaan seekor singa yang melintasi belantara tanpa ngauman yang mana sudah cukup mengetarkan lutut haiwan-haiwan lain. Maka, seekor ayam yang riuh sekampung atau seekor anjing yang menyalak-nyalak sudah tentu sukar untuk mengalahkan sang singa yang pendiam. Ayam yang riuh sereban dan anjing yang menyalak memang secara fitrahnya kalah dek kekuatan seekor singa. Secara psikologinya, biarlah kita 'singa' di hati dalam erti kata menjadi raja dalam hati dan tidak membiarkan orang lain menguasai perasaan kita. Janganlah membuat resam seperti ayam atau anjing yang mudah untuk dimanupulasi perasaan, hanya letakkan saja telur sebiji di reban, maka riuhlah ayam sekampung. Atau baling saja sebiji batu kecil ke arah anjing, maka menyalak-nyalaklah anjing di dalam pagar.


Wallahu a'lam.


Sunday, July 8, 2012

BERASA SANGAT RENDAH DIRI? MAKA, MILIKILAH HATI YANG BESAR


Ketika saya menghadiri Seminar Jana Wang Dengan Menulis anjuran Akademi Penulis tiga tahun dahulu, saya lontarkan satu persoalan yang selama itu tersemat dan menyesakkan dada saya ketika itu kepada jurulatih tuan Fauzul Naim.

"Saya berasa terlalu rendah diri dan tidak sempurna untuk menjadi seorang penulis buku."

Lantas dengan bersahaja, tuan Fauzul menjawab,

"Kalau hendak tunggu (jadi) sempurna cik puan, sampai mati pun kita tidak akan dapat menulis buku"

Terpempan saya ketika itu dan terus terdiam termati bicara. Tuan Fauzul menegaskan lagi bahkan dengan CITA-CITA untuk menghasilkan sesebuah karya penulisan best-seller, penulis mendapat peluang secara langsung untuk terus memperbaiki dan membangunkan diri kerana penulis 'terpaksa' membaca dengan lebih banyak serta menambah ilmu dengan membuat penyelidikan serta penemuan dalam menghasilkan penulisan yang hebat dan mempunyai kredibiliti. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada minda si penulis untuk berkembang dan terus berkembang dan sedar tidak sedar perkembangan minda secara berterusan akan membantu merubah, memperbaiki, memaju dan membangunkan diri.

Jika dilayan perasaan rendah diri akan mengekang minda.

Kekangan minda yang berasal dari perasaan rendah diri melampau atau 'inferiority complex' ini memang membantutkan diri kita daripada berusaha membina kejayaan hidup. Orang Melayu memang dikenali dengan sifat santunnya yang merendah diri iaitulah sifat tawadhuk, tetapi santun ini tidak bermakna kita menunduk dan mengelakkan diri dari memajukan diri dan bangsa.

Lihat sahaja orang Jepun, menunduk kepala ketika menyapa tanda merendah diri, namun negara Jepun merupakan satu kuasa besar dunia dalam bidang sains dan teknologi. Mengapa? Mereka, walaupun merendah diri tanda santun namun mempunyai hati yang besar untuk menakluki dunia dalam erti kata menjadi nombor satu dalam kemajuan dan pembangunan duniawi.

Memiliki hati yang besar pula bukan bermakna meninggi diri. Meninggi diri bererti menyombong diri dan mementingkan diri sendiri. Orang mementingkan diri sendiri memiliki hati yang kecil kerana hatinya hanya terfokus pada diri sendiri.

Hati yang besar dimiliki oleh insan-insan yang mahu memajukan diri dan orang lain. Kerana 'kebesaran' hatinya itulah, insan-insan berhati besar ini memasang cita-cita untuk membantu mengubah nasib insan-insan lain. Maka dengan hati yang besar dan penuh berisi cita-cita dan harapan, mindanya terpacu dan sentiasa berfikir untuk memperbaiki dan memajukan diri atas niat untuk membantu insan-insan lain. Melalui semangat ingin membantu maka, sedar tidak sedar, tenaga dan tulang empat kerat kita akan bergerak ke arah mengubah dan memperbaiki diri.

Jika orang Jepun yang majoririnya tidak beriman kepada Allah itu boleh 'memenangi' dunia dek kerana hati mereka yang besar untuk memajukan bangsa dan negara, maka, kita yang beriman kepada Allah bukan sahaja BOLEH MEMENANGI DUNIA, NAMUN DAPAT MEMENANGI AKHIRAT yang tidak mungkin dimenangi oleh bangsa lain yang tidak beriman.

Maka, jika berasa sangat rendah diri, marilah bersama kita BESARKAN hati.

SATU PENGAKHIRAN YANG MEMISAHKAN...


(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)

Artikel ini ditulis pada 16 Oktober 2008.

Belum pernah lagi saya dihadapkan dengan ujian sehebat kehilangan orang yang tersayang disebabkan kematian. Ketika tok wan dan opah dipanggil Ilahi, saya masih kanak-kanak hingusan, lantas pemergian mereka tidak dirasai mana. 

Namun apabila ibu mertua saya, ibu yang melahirkan dan membesarkan suami saya dipaggil mengadap Tuhan baru-baru ini, barulah saya faham apa ertinya sebuah kehilangan orang yang tersayang. Memang mak bukan ibu kandung saya. Tetapi, mak merupakan seorang wanita yang dicintai dan dihormati oleh seorang lelaki yang di bawah kakinya redha Allah kepada saya. 

Pemergian mak seolah-olah merenggut sesuatu yang amat berharga daripada saya sendiri, suami, ipar duai dan bapa mertua saya sehingga seakan-akan membiarkan satu lohong besar yang mendalam didalam lubuk hati kami masing-masing. Seakan terasa mak masih lagi berada bersama kami di rumah, menyebut nama anak menantu, berbual dan bergurau senda. Belum puas lagi rasanya dalam usia hampir tiga tahun perkahwinan saya untuk berbakti kepada mak membuktikan cinta saya terhadap suami dan kehormatan dan sayang saya terhadap mak. 

Belum lagi sempat anak kecil kami yang berusia 20 bulan itu membesar di hadapan mata ‘wan’nya.. Segala-galanya terasa ‘belum puas’ dan ‘tidak sempat’. Namun sebagai makhluk Allah, kita harus tetap akur bahawa “Segala sesuatu yang bernyawa pasti akan mati”. Maut menjemput tidak lewat walau sesaat, tidak mengenal siapa di mana dan bagaimana. Maut menghampiri tanpa mengambil kira apa-apa alasan atau memberi belas kasihan kepada yang ‘dijemputnya’ atau ahli-ahli keluarga si mati kerana Maut adalah perkiraan Allah Yang Esa.

InshaAllah, mak amat bertuah kerana dianugerahkan 13 anak yang baik-baik belaka yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraaannya, menghadiahkan bacaan quran kepadanya serta ‘memanjangkan amal jariahnya’. Mak juga beruntung, kerana di saat akhir hayatnya, iaitu disaat sakaratul maut menjengah, ayah mendampingi mak dan memimpinnya untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan ayah menyebut-nyebut bahawa dia telah meredhai mak yang mana keredhaan Allah terhadap seorang wanita bersuami adalah pada redha si suami. Jelas, tanda-tanda dipermudahkan Allah terhadap urusan pengebumian mak, yang mana segala-galanya amat mudah dan cepat. Wajah mak ketika dikafankan tampak berseri dan disebut-sebut orang yang menziarahi.

Ketika bersama-sama menghantar jenazah mak ke tanah perkuburan, keinsafan menghampiri dan menyelubungi benak saya. Terasa begitu ‘dekat’ dan ‘hampir’ diri ini dengan ‘tempat persemadian’ itu. Sesungguhnya satu perkara yang amat pasti bagi saya dan semua makhluk adalah MATI, tetapi apakah kita bersiap siaga bersedia untuk berhadapan dengannya? Tiada satu benda pun yang dapat dibawa ke liang lahad kecuali kain kafan yang menyaluti tubuh kaku kita. Anak-anak yang disayangi, harta benda semuanya ditinggalkan kecuali anak-anak yang soleh yang mendoakan kita serta harta benda yang diinfakkan ke jalan Allah. Diri kaku kita kemudiannya akan didakapi oleh tanah merah di dalam liang lahad ‘seerat-eratnya’. Namun janji Allah tetap benar! Bagi para solihin, liang lahad merupakan taman-taman syurga manakala bagi para pendosa, liang lahad adalah liang-liang siksaan yang menyakitkan.

Menghadapi kematian orang tersayang memang satu pengakhiran yang memisahkan dan amat menyedihkan, namun, bagi orang-orang yang bertakwa, marilah kita mengambil pengajaran terhadap musibah ini sebagai satu permulaan bagi meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Pencipta kita Rabbul Jalil. Seperti sabda Rasulullah SAW ”Orang-orang yang paling bijak di antara kamu adalah orang yang selalu mengingati mati”.

Al Fatihah buat ibu mertua yang disayangi Hafsah binti Bitah yang telah kembali bertemu Allah pada 6 Oktober 2008 bersamaan 6 Syawal 1429. Walau mak telah tiada di sisi kami buat selamanya, namun mak tetap ‘hidup’ di hati kami.