Sunday, July 8, 2012

BERASA SANGAT RENDAH DIRI? MAKA, MILIKILAH HATI YANG BESAR


Ketika saya menghadiri Seminar Jana Wang Dengan Menulis anjuran Akademi Penulis tiga tahun dahulu, saya lontarkan satu persoalan yang selama itu tersemat dan menyesakkan dada saya ketika itu kepada jurulatih tuan Fauzul Naim.

"Saya berasa terlalu rendah diri dan tidak sempurna untuk menjadi seorang penulis buku."

Lantas dengan bersahaja, tuan Fauzul menjawab,

"Kalau hendak tunggu (jadi) sempurna cik puan, sampai mati pun kita tidak akan dapat menulis buku"

Terpempan saya ketika itu dan terus terdiam termati bicara. Tuan Fauzul menegaskan lagi bahkan dengan CITA-CITA untuk menghasilkan sesebuah karya penulisan best-seller, penulis mendapat peluang secara langsung untuk terus memperbaiki dan membangunkan diri kerana penulis 'terpaksa' membaca dengan lebih banyak serta menambah ilmu dengan membuat penyelidikan serta penemuan dalam menghasilkan penulisan yang hebat dan mempunyai kredibiliti. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada minda si penulis untuk berkembang dan terus berkembang dan sedar tidak sedar perkembangan minda secara berterusan akan membantu merubah, memperbaiki, memaju dan membangunkan diri.

Jika dilayan perasaan rendah diri akan mengekang minda.

Kekangan minda yang berasal dari perasaan rendah diri melampau atau 'inferiority complex' ini memang membantutkan diri kita daripada berusaha membina kejayaan hidup. Orang Melayu memang dikenali dengan sifat santunnya yang merendah diri iaitulah sifat tawadhuk, tetapi santun ini tidak bermakna kita menunduk dan mengelakkan diri dari memajukan diri dan bangsa.

Lihat sahaja orang Jepun, menunduk kepala ketika menyapa tanda merendah diri, namun negara Jepun merupakan satu kuasa besar dunia dalam bidang sains dan teknologi. Mengapa? Mereka, walaupun merendah diri tanda santun namun mempunyai hati yang besar untuk menakluki dunia dalam erti kata menjadi nombor satu dalam kemajuan dan pembangunan duniawi.

Memiliki hati yang besar pula bukan bermakna meninggi diri. Meninggi diri bererti menyombong diri dan mementingkan diri sendiri. Orang mementingkan diri sendiri memiliki hati yang kecil kerana hatinya hanya terfokus pada diri sendiri.

Hati yang besar dimiliki oleh insan-insan yang mahu memajukan diri dan orang lain. Kerana 'kebesaran' hatinya itulah, insan-insan berhati besar ini memasang cita-cita untuk membantu mengubah nasib insan-insan lain. Maka dengan hati yang besar dan penuh berisi cita-cita dan harapan, mindanya terpacu dan sentiasa berfikir untuk memperbaiki dan memajukan diri atas niat untuk membantu insan-insan lain. Melalui semangat ingin membantu maka, sedar tidak sedar, tenaga dan tulang empat kerat kita akan bergerak ke arah mengubah dan memperbaiki diri.

Jika orang Jepun yang majoririnya tidak beriman kepada Allah itu boleh 'memenangi' dunia dek kerana hati mereka yang besar untuk memajukan bangsa dan negara, maka, kita yang beriman kepada Allah bukan sahaja BOLEH MEMENANGI DUNIA, NAMUN DAPAT MEMENANGI AKHIRAT yang tidak mungkin dimenangi oleh bangsa lain yang tidak beriman.

Maka, jika berasa sangat rendah diri, marilah bersama kita BESARKAN hati.

No comments:

Post a Comment