Wednesday, July 25, 2012

CERMIN MUKA, SINGA, AYAM DAN ANJING



Dalam kita melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab berkeluarga dan bekerjaya, perasaan kita sering diuji dan teruji dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Dan jangan pula kita sesekali lupa bahawa, kita jugalah antara manusia yang membuat perasaan insan lain diuji dan teruji dengan karenah dan ragam kita sendiri kerana kita juga manusia yang tidak sempurna. Cuma tidak ada ‘cermin muka’ yang dapat memantulkan kembali karenah dan ragam kita sehari-harian agar boleh kita ternampak ragam dan karenah kita bersama insan-insan sekeliling.

Apabila direncam dengan pelbagai ragam insan sekeliling yang mengelirukan, memeningkan, mengundang kemarahan atau melukakan hati kita, maka bersegaralah membuka ‘cermin muka’ kita sendiri untuk membuat refleksi dan koreksi diri atau dalam erti kata yang lebih tinggi, bermuhasabah diri. Apakah benar karenah insan yang menguji perasaan kita itu merupakan 100% mutlak dengan sengaja menguji perasaan kita? Atau mungkinkah karenah dan ragam itu merupakan tindakan refleks atau respon mereka terhadap ragam dan karenah kita sendiri?

Apakah pula ianya tindakan refleks itu, Seperti mana yang pernah kita pelajari dalam subjek sains di bangku sekolah dahulu, tindakan refleks atau ‘tindakan pantulan’ dari segi saintifik merupakan gerak balas luar kawal (automatik) yang pantas oleh tubuh kita terhadap sesuatu rangsangan atau kejutan. Contohnya apabila jari tercucuk jarum, serta merta otak ‘menghantar tanda’ kepada jari untuk menarik tangan daripada punca sakit tersebut iaitu jarum tanpa kita sempat berfikir. Tindakan refleks apabila dilihat dari satu segi merupakan satu mekanisma perlindungan (defensif).

Mungkin juga ragam insan tersebut merupakan satu tindakan refleks atas 'kejutan' yang kita sendiri mulakan terhadapnya? Ini bermakna, kita jugalah mungkin penyebab kepada ragam dan karenah insan-insan yang menguji perasaan kita itu. Jadi, tidak perlu sesakkan hati dan jiwa untuk mengorek-ngorek salah dan silap si pembuat ragam dan karenah, bertenang sebentar, dan 'pukau' minda sendiri untuk bersabar sesabar-sabarnya dengan ragam dan karenah yang amat menguji tersebut. Jangan lupa buat 'kerja rumah' untuk menilai kembali situasi yang telah dialami dengan hanya satu tujuan iaitu untuk memperbaiki keadaan dan bukan untuk menuding jari atau menyalahkan diri seratus peratus. Perlu selalu di ingat, kita juga manusia, sama seperti insan-insan sekeliling kita. Maka kita dan mereka sama-sama tidak sempurna dan masing-masing memiliki kelebihan dan kekurangan, kebaikan dan keburukan. Adil bukan?


Jika terus-terusan kita berfikiran '50%-50%' sebegini, maka dapatlah kita terhindar daripada persengketaan hasil daripada 'memanjang-manjangkan' satu perkara yang mungkin sebenarnya amat remeh. Mungkin juga segala tanggapan kita kepada insan-insan yang membuat karenah dan membuat ragam ini adalah hanya prejudis kita yang tidak lain tidak bukan adalah satu syak wasangka yang mana ianya dilarang oleh Allah di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, Ayat 12:


"“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)


Menakutkan bukan? Memakan daging saudara sendiri? Betapa, kita sesungguhnya sudah menimbunkan dosa dalam syak wasangka dan umpat mengumpat. Maka, marilah kita sama-sama bertaubat segera. 



Dalam menyelesaikan ragam dan karenah segolongan kecil manusia yang memang dikenali suka menimbulkan masalah, jangan mudah melatah atau melenting apabila insan sekeliling meragam, bertenang dan jangan biarkan emosi kita menguasai minda ketika dihambuk dengan asakan ragam insan tersebut. Ini adalah kerana separuh dari akal kita akan hilang apabila amarah menguasai hati, maka bagaimana mungkin bisa untuk kita mencari strategi dan formula untuk mengenalpasti punca masalah seterusnya menyelesaikan masalah tersebut? Ingat, hidup adalah untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah. Dan seperti kata Prof. Muhaya yang selalu beliau ulang-ulangi di dalam program 'Islam Itu Indah' yang ke udara di radio IKIM.FM, yang berbunyi 'mengapa perlu kita 'bazirkan' umur kita hanya untuk memendam rasa, berkecil hati atau berdendam hanya kerana segelintir insan di antara beribu-ribu insan yang kita kenali?' Banyak lagi perkara baik dan hebat yang perlu kita fokuskan minda daripada memeningkan kepala memikirkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan seperti itu.

Dalam mendepani orang-orang di sekeliling yang menguji perasaan kita, kita perlu masa untuk menjadi rasional dan kita tidak boleh terburu-buru atau tergopoh gapah dalam memberi reaksi terhadap golongan ini, kerana terburu-buru itu sifat yang berasal dari syaitan dan pastinya akan memberi kesan yang buruk. Tarik nafas panjang-panjang dan cuba lemparkan senyuman walaupun senyuman kita itu hambar atau lebih baik diamkan lidah kita dari berbicara jika keadaan tegang. Diam ketika dihambuk amarah, ragam atau karenah insan lain bukan beerti kita dayus, penakut atau kalah. Ini boleh dikiaskan dengan perumpamaan seekor singa yang melintasi belantara tanpa ngauman yang mana sudah cukup mengetarkan lutut haiwan-haiwan lain. Maka, seekor ayam yang riuh sekampung atau seekor anjing yang menyalak-nyalak sudah tentu sukar untuk mengalahkan sang singa yang pendiam. Ayam yang riuh sereban dan anjing yang menyalak memang secara fitrahnya kalah dek kekuatan seekor singa. Secara psikologinya, biarlah kita 'singa' di hati dalam erti kata menjadi raja dalam hati dan tidak membiarkan orang lain menguasai perasaan kita. Janganlah membuat resam seperti ayam atau anjing yang mudah untuk dimanupulasi perasaan, hanya letakkan saja telur sebiji di reban, maka riuhlah ayam sekampung. Atau baling saja sebiji batu kecil ke arah anjing, maka menyalak-nyalaklah anjing di dalam pagar.


Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment