Sunday, July 8, 2012

SATU PENGAKHIRAN YANG MEMISAHKAN...


(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)

Artikel ini ditulis pada 16 Oktober 2008.

Belum pernah lagi saya dihadapkan dengan ujian sehebat kehilangan orang yang tersayang disebabkan kematian. Ketika tok wan dan opah dipanggil Ilahi, saya masih kanak-kanak hingusan, lantas pemergian mereka tidak dirasai mana. 

Namun apabila ibu mertua saya, ibu yang melahirkan dan membesarkan suami saya dipaggil mengadap Tuhan baru-baru ini, barulah saya faham apa ertinya sebuah kehilangan orang yang tersayang. Memang mak bukan ibu kandung saya. Tetapi, mak merupakan seorang wanita yang dicintai dan dihormati oleh seorang lelaki yang di bawah kakinya redha Allah kepada saya. 

Pemergian mak seolah-olah merenggut sesuatu yang amat berharga daripada saya sendiri, suami, ipar duai dan bapa mertua saya sehingga seakan-akan membiarkan satu lohong besar yang mendalam didalam lubuk hati kami masing-masing. Seakan terasa mak masih lagi berada bersama kami di rumah, menyebut nama anak menantu, berbual dan bergurau senda. Belum puas lagi rasanya dalam usia hampir tiga tahun perkahwinan saya untuk berbakti kepada mak membuktikan cinta saya terhadap suami dan kehormatan dan sayang saya terhadap mak. 

Belum lagi sempat anak kecil kami yang berusia 20 bulan itu membesar di hadapan mata ‘wan’nya.. Segala-galanya terasa ‘belum puas’ dan ‘tidak sempat’. Namun sebagai makhluk Allah, kita harus tetap akur bahawa “Segala sesuatu yang bernyawa pasti akan mati”. Maut menjemput tidak lewat walau sesaat, tidak mengenal siapa di mana dan bagaimana. Maut menghampiri tanpa mengambil kira apa-apa alasan atau memberi belas kasihan kepada yang ‘dijemputnya’ atau ahli-ahli keluarga si mati kerana Maut adalah perkiraan Allah Yang Esa.

InshaAllah, mak amat bertuah kerana dianugerahkan 13 anak yang baik-baik belaka yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraaannya, menghadiahkan bacaan quran kepadanya serta ‘memanjangkan amal jariahnya’. Mak juga beruntung, kerana di saat akhir hayatnya, iaitu disaat sakaratul maut menjengah, ayah mendampingi mak dan memimpinnya untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan ayah menyebut-nyebut bahawa dia telah meredhai mak yang mana keredhaan Allah terhadap seorang wanita bersuami adalah pada redha si suami. Jelas, tanda-tanda dipermudahkan Allah terhadap urusan pengebumian mak, yang mana segala-galanya amat mudah dan cepat. Wajah mak ketika dikafankan tampak berseri dan disebut-sebut orang yang menziarahi.

Ketika bersama-sama menghantar jenazah mak ke tanah perkuburan, keinsafan menghampiri dan menyelubungi benak saya. Terasa begitu ‘dekat’ dan ‘hampir’ diri ini dengan ‘tempat persemadian’ itu. Sesungguhnya satu perkara yang amat pasti bagi saya dan semua makhluk adalah MATI, tetapi apakah kita bersiap siaga bersedia untuk berhadapan dengannya? Tiada satu benda pun yang dapat dibawa ke liang lahad kecuali kain kafan yang menyaluti tubuh kaku kita. Anak-anak yang disayangi, harta benda semuanya ditinggalkan kecuali anak-anak yang soleh yang mendoakan kita serta harta benda yang diinfakkan ke jalan Allah. Diri kaku kita kemudiannya akan didakapi oleh tanah merah di dalam liang lahad ‘seerat-eratnya’. Namun janji Allah tetap benar! Bagi para solihin, liang lahad merupakan taman-taman syurga manakala bagi para pendosa, liang lahad adalah liang-liang siksaan yang menyakitkan.

Menghadapi kematian orang tersayang memang satu pengakhiran yang memisahkan dan amat menyedihkan, namun, bagi orang-orang yang bertakwa, marilah kita mengambil pengajaran terhadap musibah ini sebagai satu permulaan bagi meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Pencipta kita Rabbul Jalil. Seperti sabda Rasulullah SAW ”Orang-orang yang paling bijak di antara kamu adalah orang yang selalu mengingati mati”.

Al Fatihah buat ibu mertua yang disayangi Hafsah binti Bitah yang telah kembali bertemu Allah pada 6 Oktober 2008 bersamaan 6 Syawal 1429. Walau mak telah tiada di sisi kami buat selamanya, namun mak tetap ‘hidup’ di hati kami.

2 comments:

  1. Apabila menyaksikan satu 'pemergian' menangislah kita mengenangkan pemergian kita nanti

    ReplyDelete
  2. Saya setuju dengan pandangan puan. Yang mati telah mati, kita yang hidup ini bagaimana pula matinya nanti?

    ReplyDelete