Saturday, July 7, 2012

MAKA, TIDAKKAH KAMU BERFIKIR?


Saya tidak mengkhususkan penulisan saya ini kepada mana-mana individu pun selain saya. Pada ketika saat-saat saya bersendirian di mana lidah saya tidak perlu berbicara dengan mana-mana manusiapun, sering saya paksa diri untuk membuat refleksi diri dan kehidupan saya. Saya cuba sedaya upaya untuk ‘keluar daripada kepompong’ hiruk pikuk rutin kehidupan seharian yang sungguh sibuk sehingga boleh menjadikan saya seperti ‘robot yang berperasaan’, melakukan rutin harian tanpa perlu berfikir panjang kerana telah menjadi kebiasaan. Sehinggakan saya berasa takut adakah saya telah terlupa satu kemahiran yang paling penting yang Tuhan anugerahkan kepada manusia iaitu ‘berfikir’. Bukan semata-mata berfikir secara ‘permukaan’ atau surface, tetapi berfikir secara , reflektif, kritikal dan kreatif.

Acapkali di dalam Al-Quran Tuhan mengulangi ayat yang membawa maksud “Tidakkah kamu berfikir?” yang membawa erti bahawa begitu pentingnya kita berfikir dan terusan berfikir. Saya bukan pakar tafsir Quran untuk membahaskan pengertian frasa ini berdasarkan ilmu tafsir Kitab Suci itu, namun cukup untuk saya fahami bahawa, ianya membawa mesej bahawa berfikir itu perlu dan perlu secara berterusan dan berpanjangan selagi hayat dikandung badan. Namun atas landasan apa fikiran itu dipandu? Seorang penjenayah yang bijak berfikir akan ‘berjaya’ dalam misi jenayahnya kerana dia berfikir atas landasan nafsu jahat. Saya suka sekali mendengar kupasan Ust. Pahrol Mohd Juoi dalam siaran “Mukmin Professional” yang ke udara di IKIM setiap minggu. Menggunakan tagline “Kuatkan Fikir, Tingkatkan Zikir”, beliau memegang prinsip bahawa fikiran hendaklah dipandukan dengan zikir iaitu mengingati Allah agar tidak terbabas pemikiran terhadap perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kejahatan.
Ramai manusia (seperti saya) tidak henti-henti bercakap, berkata dan terus berbicara tanpa punya masa untuk berfikir sejenak sebelum mengeluarkan kata-kata. Atau jika telah terlepas bicara, sempatkah membuat refleksi kembali atas keterlanjuran kata-kata?

Langit dan bumi Tuhan yang terbentang luas ini sepatutnya menjadi medan untuk saya dan pembaca berfikir. Segalanya adalah ciptaan Allah yang tidak boleh dinafikan. Semakin banyak kita berfikir mengenai alam ini semakin tinggi syukur kita kepada Allah dan semakin kurang kufur kita pada nikmat Allah yang terlalu banyak tidak terkira. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Sekolah Kehidupan’. Majalah Solusi pernah memberi kupasan mengenai perbahasan ini segala terperinci tentang bagaimana alam berperanan sebagai guru manakala kita manusia sebagai murid. Saya sarankan rakan-rakan pembaca untuk mendapatkan edisi Solusi tersebut.
Nasihat saya kepada diri saya sendiri serta rakan-rakan, dalam seharian kita bergelut dengan kesibukan bekerja dan berkeluarga, berhentilah sejenak untuk bertafakkur untuk apa saja yang membawa kebaikan di dalam agenda hidup dan mati kita. Kerana kadang-kadang siapa tahu dengan meluangkan masa berfikir 5 minit dapat kita menyelesaikan masalah untuk 5 tahun?

Maka, tidakkah kamu berfikir?

No comments:

Post a Comment