Thursday, July 26, 2012

SAHABAT SEJATI?


(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)

Artikel ini ditulis pada 27 Januari 2010


Sahabat sejati?

Saya masih mencari-cari, hingga kini. Di dalam fasa pengemudian hidup secara multi-tasking ini iaitu dengan memikul tanggungjawab sebagai segala-galanya, saya masih tidak henti-henti mencari dan mencari.

Jika di zaman persekolahan lebih-lebih lagi zaman di menara gading dahulu, memang saya akui di situlah zaman yang paling saya nikmati di dalam mempunyai sahabat sejati yang menyayangi saya dengan ikhlas dan jujur. Sahabat-sahabat sejati ini menerima saya seadanya. Sahabat-sahabat sejati ini sanggup bersahabat dengan saya walaupun seribu satu kelemahan yang ada pada diri ini. Diterima seadanya baik buruk diri saya. Ditelan segala rasa hati yang mungkin terguris disebabkan sikap (negatif) saya. ‘Dijulang’ dan disebut perkara baik-baik tentang saya. Bukan memuji yang memabukkan diri, tetapi ‘memuji’ lebih kepada menghargai diri kita. Merekalah yang menjadi teman ketawa, teman air mata dan teman untuk menadah telinga mendengar celoteh saya. Merekalah jua yang tidak kenal erti jemu ‘menarik tangan saya semula’ jika saya ‘jatuh tersadung. Di waktu saya kesusahan, sahabat-sahabat sejati inilah yang membelikan sepinggan nasi dan segelas air. Di waktu saya sakit dan tidak dapat bergerak dari katil, merekalah yang datang menyumbang picit dan urutan yang amat memberikan kekuatan dan galakan untuk saya cepat sembuh. Di waktu saya ‘dibuli’, merekalah yang akan datang menjadi ‘perwira’ saya.

Memang zaman itulah zaman ‘gemilang’ persahabatan saya.

Kini, masa telah merubah segala-galanya.

Saya dan mereka masing-masing telah membawa haluan hidup masing-masing dalam mengemudi hidup orang dewasa. Berkahwin, beranak pinak dan bekerja telah menjarakkan hubungan kami. Tetapi jarak fizikal tidak menjarakkan hati saya terhadap mereka. Sesungguhnya mereka ini sangat dekat di hati saya. Walau jarang dihubungi dan menghubungi, tetapi pengalaman saya bersahabat dengan mereka tidak lekang dari ingatan saya. Selalu saya sebut-sebut kisah manis bersama mereka di dalam bicara saya.

Tips segera saya untuk mengenalpasti sahabat sejati (di antara ribuan kawan dan orang-orang yang mengaku sahabat) adalah --> siapakah yang paling anda ingat jika anda dilanda kesusahan atau ketika anda berbuat silap atau ketika anda di dalam ‘kejatuhan’? Anda rasa seolah-olah ingin saja anda bertemu insan itu di waktu anda ditimpa susah kerana anda yakin insan itu tidak akan menolak anda dan anda pasti dia akan menerima anda dan memberi anda kata-kata perangsang dan semangat. Itulah kriteria paling mudah untuk saya ‘labelkan’ seorang sahabat (dibandingkan dengan seorang kawan) Mengapa saya katakan demikian? Kerana pengalaman mengajar kita semua (dan manusia-manusia sebelum kita) bahawa “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar ditemui”.

Dan yang paling payah hendak dicari adalah sahabat yang masih mahu mengaku sahabat jika saya atau anda melakukan kesalahan atau kesilapan yang hebat. Ramai yang lari, tidak kurang juga yang mengelak diri, lebih ramai lagi yang mengeji di belakang hatta mereka yang pada dasarnya kita anggap ‘sahabat’. Ini memang bukan sahabat, malahan musuh dalam selimut! Cukuplah sekadar berdoa agar orang-orang seperti ini diampunkan Tuhan dan diberi hidayahNya. Jangan lupa juga berdoa agar kita tidak termasuk dalam golongan ‘sahabat-musuh dalam selimut’ ini.

Sahabat sejati akan senantiasa berkata benar kepada kita berkenaan diri kita secara berhikmah. Kelebihan kita sentiasa dihormati, kekurangan dan kesilapan kita akan sentiasa diperingat dan dinasihati tetapi bukan diumpati! Bukanlah bermakna menjadi sahabat sejati perlu sentiasa memuji, bukan! Tetapi selalu menggembirakan hati kita dengan kebenaran dan mengingatkan kita tentang kealpaan. Bukan pula ‘terjun longkang sekali kita’ dan tentunya bukan yang ‘bawa kita terjun longkang sekali’.

Di dalam melaksanakan seribu satu macam tanggungjawab , saya (dan para sahabat pembaca semua) sepatutnya dipacu dengan akal fikiran serta tidak lupa mengawal segunung emosi yang sentiasa mendatang dan pergi dalam lubuk hati terutamanya hati seorang wanita. (Tentunya yang menjadi penyelamat adalah Iman).

Cubalah bayangkan:
- Di dalam hidup berkeluarga kita adalah seorang isteri kepada suaminya, seorang ibu kepada anak-anaknya, (masih lagi) seorang anak kepada ibu bapanya, seorang menantu kepada mertuanya, seorang ipar kepada ipar-duainya, seorang kakak kepada adik-adiknya,
- Di dalam hidup bekerjaya pula kita adalah seorang pekerja kepada pejabatnya, seorang pegawai bawahan kepada majikannya, seorang penyelia kepada pegawai seliaannya

Di antara pelbagai tanggungjawab yang terbeban di bahu kita itu, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai konflik dan dilema yang kadang-kadang menguji kita dan sememangnya kita tidak dapat melakukan semuanya secara tip-top. Kita bukan robot!

Pergolakan dan peperangan antara emosi dan rasional di dalam hati wanita (dan semua yang bernama manusia) inilah yang kebiasaanya menguji pergaulan seharian terutama di dalam persahabatan. Di dalam majalah Anis Februari 2010 ada menyebut emosi wanita umpawa air yang amat lemah sifatnya yang mudah berubah bentuk mengikut bekas atau acuan yang apabila dibezakan dengan kekuatan hati lelaki seumpama seketul batu yang amat teguh walau diletakkan di bekas manapun. Sifat ‘lembik’ dan ‘lembut’ emosi ini jualah yang menjadi punca mengapa kaum hawa lebih mudah untuk berasa hati atau terhentak hati dengan sekecil-kecil isu sekalipun. Terasa itu, terasa ini, sakit hati begini, sakit hati begitu, sedih kerana ini, sedih kerana itu dan dek kerana inilah agaknya memang hati wanita tidak ‘sekuat’ lelaki apabila menghadapi sikap-sikap dan tindak-tanduk insan-insan di sekelilling walau siapa saja ; suami, anak-anak, ahli keluarga, ipar-duai, kawan sepejabat, bos, jiran, orang lalu lalang dan sebagainya, dan inilah ujian yang selalu ditimpa oleh sahabat-sahabat sejati. Iaitu untuk menjadi sahabat ketika diri sendiri dibuai perasaan, untuk menjadi sahabat ketika sahabat terbuai perasaan dan ‘memangsakan’ kita pula.

Yang paling utama, sahabat sejati adalah mereka yang memasukkan kita di dalam hati mereka dan di dalam doa mereka. Yang mudah memaafkan kesalahan kita dan mudah meminta maaf. Yang menyembunyikan kekurangan diri kita. Yang membela kita. Yang tidak sesekali akan menghentam kita jika kita tersilap malahan menutup-nutup dan menasihati seterusnya ‘menarik tangan kita’. Wah! Banyak bukan kriteria menjadi sahabat sejati. Jangan pula kita sahaja yang kepinginkan sahabat sejati sebelum kita mula sendiri menjadi seorang sahabat sejati.

Kepada sahabat-sahabat wanita saya yang sama-sama belajar di AED, UIA pada tahun 1997-2002, ketahuilah, kalianlah antara sahabat sejati saya yang sukar dicari ganti. Juga kepada sahabat-sahabat yang bertamu di alam maya yang hadir hanya seketika, namun komunikasi secara bertulis anda amat ‘memegang’ hati saya. Saya sayang kalian dan kecintaan itu biarlah diabadikan selamanya dalam hati saya (walau tanpa khabar berita).

Kepada teman-teman sekeliling yang pernah 'dimangsakan' saya secara yang saya sedari atau tidak sedari, sejuta maaf saya pohonkan. Tegurilah saya atas apa-apa kekhilafan dengan ikhlas. Semoga keikhlasan kalian yang bernama sahabat ini akan dapat membantu saya (dan kita) mencari redha Allah. Sama-samalah kita maaf-memaafi antara satu sama lain, kerana kita tidak pernah tidak melakukan salah silap antara satu sama lain.

Sesungguhnya, cinta sejati hanyalah pada Allah. Dialah Tuhan yang tidak akan pernah ‘lari’ dari hambaNya yang mendekatiNya dalam apa jua masalah, salah silap yang kita lakukan. Dan sahabat sejati adalah sahabat yang sentiasa 'mendekatkan' kita dengan Allah.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment