Saturday, July 7, 2012

NATRAH : Cinta - Rusuhan - Air Mata

(Hasil karya saya ini berasal dari blog lain milik saya dipindahkan ke blog ini dalam usaha saya untuk menyusun dan memperkemaskan blog)

Artikel ini ditulis pada April 8, 2010

Ulasan pertama di dalam blog ini dimulakan dengan sebuah karya hasil buah tangan seorang wartawan tersohor Datin Fatini Yaacob iaitu NATRAH: Cinta, Rusuhan & Air Mata. Beliau sememangnya tidak asing lagi dalam penulisan dan kajian mengenai tragedi Natrah ini. Beliau merupakan seorang penulis di ruangan tetap artikel mengenai Natrah di dalam Dewan Masyarakat sejak tahun 1980an lagi. Kajian beliau selama lebih 20 tahun di dalam kes Natrah ini telah dibukukan secara eksklusif di dalam buku ini yang diterbitkan oleh Penerbit UTM.

Mustahil jika ada di antara kita yang tidak tahu langsung berkenaan kes Natrah ini. Jika tidak secara mendalam pun, kes Natrah ini sudah tidak asing lagi bagi kita rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang berbangsa Melayu atau yang beragama Islam! Kisah tragis ini berlaku semasa negara kita masih dijajah oleh pihak British yang mana Tanah Melayu ketika ini masih tertakluk kepada undang-undang British.

Pertama kali menatap kulit buku ini, saya betul-betul terpana buat pertama kali melihat gambar perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi di dalam warna penuh kerana kebiasaannya yang terpampang di mana-mana media cetak adalah gambar hitam putih! Dan hati kecil saya berbisik "Wah! Comel juga Natrah ini, nampak matang dari usianya yang ketika itu 13 tahun" Perasaan ingin tahu saya terus membuak-buak untuk melihat-lihat apa yang terkandung di dalam buku itu secara 'kilat'. Sudah tentulah saya mencari-cari foto bagi watak-watak dan peristiwa penting yang berjaya dirakamkan pada ketika itu. Memang buku ini tidak mengecewakan saya kerana penulis telah 'mewarnai' isi kandungan buku dengan gambar sebenar 'watak-watak penting', keratan akhbar serta gambar kejadian penting sepanjang tragedi Natrah ini walaupun ianya hanya gambar-gambar hitam putih.

Lantas saya tidak sabar untuk terus-terusan membelek gambar-gambar tersebut dan saya amati betul-betul setiap gambar dan keratan akhbar dahulu kala tersebut. Terasa seperti saya dibawa menaiki mesin waktu (time-machine) mengembara jauh ke zaman kejadian itu berlaku untuk menyaksikan tragedi dan kisah cinta duka seorang gadis Muslim yang bernama Natrah.Percayalah teman pembaca sekalian, perasaan inilah yang menyelebungi saya di waktu mata saya ini membaca setiap bait-bait penulisan Datin Fatini ini. Seolah-olah Natrah, Che Aminah iaitu ibu angkat Melayu-Islamnya serta Mansor Adabi, cinta sejati pertama dan terakhirnya berada betul-betul di depan mata saya.

Penulis telah berjaya membawa kita jauh bukan sahaja untuk 'menyaksikan dengan mata kepala kita' akan kisah sebenar perjuangan mendapatkan hak penjagaan seorang anak gadis bawah umur, tetapi penulis telah berjaya menusuk perasaan kita tentang kepedihan hati insan-insan yang telah dinafikan hak untuk mempercayai, hak untuk beragama serta hak untuk mencintai, dicintai dan berkasih sayang.

Mudah benar air mata saya mengalir apabila pembacaan saya tiba di bahagian Natrah 'dirampas' daripada suami dan ibu angkat Muslimnya yang merupakan cinta sejati Natrah.

Dan lebih memilukan apabila pembacaan saya tiba 'di waktu' betapa hancur luluh hati Mansor Adabi apabila Natrah 'membunuh' hati dan jiwanya.Walau tidak pernah 'disentuhnya' Natrah, namun selama bertahun-tahun dia menaruh harapan yang tinggi untuk hidup beristerikan Natrah atas dasar cinta sejati seorang suami,walau Natrah di bawa jauh nun ke benua Eropah, dia terus menunggu. Namun, dia tidak dapat melawan takdir.

Apakah kita sebenar-benarnya memahami pengajaran di sebalik tragedi yang menyayat hati tersebut? Tahukah kita bahawa maruah agama, negara & bangsa kita juga turut 'terjual' dek kerana isu yang hanya nampak seperti 'isu kekeluargaan' iaitu 'hak penjagaan kanak2 bawah umur' dan isu 'nationality itu?

Sebenarnya tragedi Natrah membawa kepada isu yang lebih besar dari apa yang kita fahami. Semangat patriotik dan semangat cintakan agama saya membuak-buak dengan penceritaan terhadap bagaimana Karim Ghani, Dr Burhanuddin Helmi, Tun Abdul Rahman dan pejuang-pejuang lain yang rela mempertaruhkan harta dan nyawa demi maruah agama dan bangsa. Betapa semua penduduk Muslim, Melayu dan bukan Melayu bersatu demi maruah seorang anak gadis Muslim.

Dan tahukah anda apakah yang dialami oleh Natrah selepas pulang ke Belanda? Bahagiakah si gadis itu di sisi keluarganya di sana?

Tragedi Natrah menyaksikan tragedi kemanusiaan dan kasih sayang di mana seorang anak gadis yg luhur jiwanya yang telah dinafikan haknya untuk mempercayai,menyayangi dan disayangi.

Kisah Natrah juga adalah kisah cinta yang tidak kesampaian sehingga ke akhir hayat yg mana si suami (bekas) sehingga ke hari tuanya masih menyebut nama (bekas) isterinya yg telah dirampas. Si (bekas)isteri pula 'mati' jiwanya dek kerana dipaksa untuk berpisah dgn suami tercintanya serta keluarga angkat yg berjasa yg telah membahagiakan dirinya.

Kisah Natrah juga menceritakan kisah ego sang penjajah yg telah rela mengorbankan 'hidup' dan kebajikan 'rakyatnya' sendiri atas dasar penebusan maruah negara.

Kisah Natrah juga adalah kisah semangat cintakan negara, agama & bangsa oleh pejuang kita tidak kira bangsa apa pun atas nama membebebaskan watan.

Dalam arus kehidupan sekarang yang membenarkan kemasukan 'unsur-unsur' luar, sedarkah kita bahawa kita sedara tidak langsung 'membuka pintu seluas-luasnya' kepada mana-mana kuasa luar untuk masuk ke dalam kehidupan kita sehari-hari melalui 1001 macam wadah. Pendidikan, hiburan, perniagaan, pemikiran, sebut sajalah apa pun bidangnya, siapakah agaknya benchmarking kita? Namun, apa pula tanggapan 'developed nation' kepada kita yg 'memandang tinggi' kepada mereka itu? Adakah rasa 'hormat' kita pada mereka 'dibalas' seadilnya?

Buku Natrah ini akan 'membawa kita back to the past' untuk kita sama-sama memikirkan kembali kesan penjajahan yang telah berakar umbi di dalam kehidupan kita seharian. Buku ini sememangnya 'page-turner'. Anda akan merasakan bahawa anda berada betul-betul di sisi Natrah dan keluarganya, di sisi pejuang-pejuang Tanah Melayu ketika itu.

Penulis berkesempatan menemuramah kedua-dua Natrah dan bekas suaminya Mansor Adabi pada hari tuanya, bahkan pada hari akhir sebelum Mansor Adabi menutup mata selama-lamanya!

Maka, saya mengambil inisiatif sendiri atas nama seorang Muslim dan anak Malaysia untuk mewarwarkan kepada teman-teman sekalian agar memilikinya untuk bacaan sendiri dan untuk diwariskan kepada zuriat kita semua.

ISI KANDUNGAN BUKU SEPINTAS LALU Di bawah merupakan butiran isi kandungan buku Natrah : Cinta, Rusuhan, Air Mata yang saya dapatkan dari laman sesawang UTM. ___________________________________________________________________________________ Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha : Cinta, Rusuhan, Air Mata
(Kulit Lembut)
Pengarang: Fatini Yaacob 2010
ISBN 978-983-52-0729-7
474 muka surat
RM 75.00 (Kulit Nipis) RM 99.00 (Kulit Tebal)
Bidang Umum

SINOPSIS
“Natrah adalah kisah cinta dua insan yang agung yang menyatu dengan kisah cinta bangsa Melayu kepada agamanya hingga mencetus rusuhan yang tragis di Singapura (1950)” “Jika isu Malayan Union telah menyebabkan orang Melayu bersatu di bawah satu panji, maka episod Natrah pula menggambarkan perpaduan umat Islam di seluruh Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia. Natrah menjadi satu tragedi yang boleh dihayati dan dipelajari dan yang lebih penting membuktikan perpaduan seluruh umat Islam...”
Tun Daim Zainuddin (Mantan Menteri Kewangan)

“Di tengah kehangatan kisah perbicaraan Natrah di Singapura, majalah Qalam menyiarkan gambar lukisan yang menunjukkan al–Qur’an terlepas dari tangan Natrah yang duduk bersimpuh. Maknanya sangat mendalam. Saya yang berusia lapan tahun pun faham ....”
Tan Sri Adam Kadir (Mantan Yang Di Pertua Dewan Negara)

“Sesungguhnya penghasilan buku ini bukan sekadar biografi biasa. Menerusi watak Natrah penulis berjaya mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu yang masih relevan sehingga kini... Garapan buku ini pula merentasi waktu yang panjang, dari sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah tahun 2009. Jangkauan kajian pula melibatkan kawasan geografi yang luas, dari Asia Tenggara ke Eropah hingga ke Amerika Syarikat ....”
Prof. Dato’ Ir. Zaini Ujang (Naib Canselor UTM)

BIODATA PENULIS:
FATINI YAACOB – bermula sebagai Wartawan majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1981–1994), kemudian menjadi penulis bebas (1994–2008). Kini Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (2009). Lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Kewartawanan/Penyiaran (1981) dan University College Cardiff, Wales, United Kingdom untuk ijazah Sarjana Pengajian Kewartawanan (1987). Hasil karya/penyelidikan – Natrah (artikel bersiri untuk majalah Dewan Masyarakat – 1989), Shamsiah Fakeh (artikel bersiri untuk majalah Dewan Masyarakat – 1991), dan Daim Yang Diam (Biografi, 1997).

KANDUNGAN
Prakata
Kata Pengantar Tun Daim Zainuddin
Kata Pengantar Tan Sri Adam Kadir
Kata Pengantar Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang
Penghargaan Penghargaan kepada Institusi
BAB 1
Lahir di Bandung
BAB 2 Dari Tanah Melayu ke Tanah Jajahan
BAB 3 Nikah di Singapura, Gempar di Belanda
BAB 4 Natrah Kahwin, Akhbar Gempar
BAB 5 Karim Ghani Ketuai Jawatankuasa Bela Natrah
BAB 6 Perbicaraan Tuntutan Hak Penjagaan Natrah
BAB 7 Keputusan Perbicaraan
BAB 8 Natrah di Gereja dan Provokasi Akhbar
BAB 9 Dato’ Onn Kecewakan Tunku
BAB 10 Rusuhan!
BAB 11 Dilarikan ke Belanda
BAB 12 UMNO dan Rusuhan
BAB 13 Insan Belanda Berhati Mulia
BAB 14 Mansor Adabi Bernikah
BAB 15 Terpenjara di Belanda
BAB 16 Kahwin untuk Keluar Rumah
BAB 17 Bertemu Vermeulen dan Akhbar
BAB 18 Luka Lama Berdarah Kembali
BAB 19 Bercerai dengan Wolkenfelt
BAB 20 Mencuba Nasib di Amerika
BAB 21 Kembali ke Kemaman
BAB 22 Berakhir Penderitaan
BAB 23 Bahagia Akhirnya
Bibliografi
Indeks
Sumber : http://www.penerbit.utm.my

BAGAIMANA UNTUK MENDAPATKAN BUKU INI?
Di bawah saya qute dari website Penerbit UTM sendiri:
"KAEDAH PEMBAYARAN
Semua pembayaran mestilah dibuat menggunakan draf bank /cek/wang kiriman pos atas nama: BENDAHARI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.
* Penghantaran Buku akan diproses setelah pembayaran diterima.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Yosman Bin Mohd. Bain PEGAWAI PENERBITAN (PEMASARAN) Tel. : +(6)07–55 35754 / +(6)07–55 35826 (Norliyati Binti Ja’amat) Faks. : +607–55 35759"

Semoga kita dapat membaca atau memiliki buku ini!

No comments:

Post a Comment